Kemerdekaan negara hendaklah dipertahankan dan dikekalkan walau dengan apa cara pun. Sempena Hari Kemerdekaan, marilah kita ungkaikan lakaran sejarah yang membawa kepada kemerdekaan negara.
Kesultanan Melayu Melaka mencoretkan sejarah kepada era permulaan pembentukan negara berdaulat yang bertitik tolak pada tahun
1400. Namun perjalanan sejarah Melaka hanya bertahan sehingga tahun
1511 dengan noktahnya berakhir dengan serangan Portugis ke atas Melaka. Dengan itu bermulalah era kolonial kuasa asing ke atas Tanah Melayu.
Dengan dasar yang mencengkam penduduk tempatan dan serantau, pemerintahan Portugis dapat bertahan sehingga tahun
1641. Era penjajahan Portugis nampaknya lebih lama daripada pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka itu sendiri!. Tahun 1641, Portugis dikalahkan oleh kuasa Eropah lain iaitu Belanda. Belanda menawan Melaka dengan bantuan orang Melayu Johor yang ketika itu mewarisi tradisi pemerintahan feudal pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka.
Penguasaan Belanda ke atas Tanah Melayu diteruskan dengan kuasa imperialis Inggeris ke atas Pulau Pinang pada tahun 1786. Francis Light dengan tipu muslihatnya berjaya menguasai
Pulau Pinang dan
Seberang Prai (1800) daripada Sultan Abdullah.
Dengan berkibarnya bendera Union Jack di Pulau Pinang (kemudian ditukar nama kepada Prince of Wales) maka bermulah era penaklukan British di Tanah Melayu. Kemudian dengan rakusnya pihak imperialis Inggeris menguasai satu demi satu Negeri-Negeri Melayu.
Bermula dengan
Pulau Pinang (1786), Singapura (1819), Melaka (1824), Naning (1831), Perak (1874), Selangor (1875), Negeri Sembilan (1887) dan
Pahang (1888). Perjanjian yang dimeterai mengakibatkan sultan-sultan Melayu terpaksa menerima “Penasihat British” dan amalam Sistem Residen dalam pentadbiran dengan sultan-sultan hanya berkuasa dalam hal ehwal agama dan adat sahaja! Ini menafikan amalan tradisi sistem feudal seperti “pemerintahan tanpa kuasa”. Bagi memantapkan pemerintahan dan pentadbiran, Inggeris menubuhkan
Negeri-Negeri Selat (1826) yang menggabungkan Pulau Pinang, Singapura, Melaka dan Dinding. Sementara itu, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang digabungkan atas nama
Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NNMB).
Kegelojohan kuasa penjajah Inggeris untuk menguasai hasil bumi Tanah Melayu diteruskan dengan penguasaan ke atas negeri
Kedah, Perlis, Kelantan dan
Terengganu melalui perjanjian yang dimeterai tanpa melibatkan sultan-sultan negeri tersebut iaitu Perjanjian Bangkok (1909). Oleh sebab ada bantahan maka “ulang tayang” pengesahan perjanjian dimeterai antara British dengan Kelantan pada 1910 dan Terengganu pada 1919. Johor pula menerima penasihat British pada tahun 1914. Negeri-negeri tersebut digabungkan atas nama
Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu (NNMTB).
Sementara itu, British menguasai Sarawak menerusi Dinasti Brooke dari tahun 1853 sehinggalah kedatangan Jepun. Manakala di Sabah (Borneo Utara) pula, British menguasai secara tidak langsung melalui Syarikat Berpiagam Borneo Utara (SBBU). Penguasaan kolonial British disekat secara tiba-tiba oleh kuasa imperialis Asia iaitu
Jepun.
Walaupun tempoh penaklukan Jepun hanya tiga tahun setengah iaitu dari 15 Februari 1942 hingga 12 September 1945, namun period tersebut telah menyemai semangat kebangsaan (nasionalisme) di kalangan rakyat. Kekalahan British di tangan Jepun telah membuka mata dan minda rakyat bahawa penjajahan boleh ditamatkan dan tanahair boleh bebas daripada cengkaman imperialisme.
Setelah tamatnya penjajahan Jepun, tanahair dikejutkan dengan penguasaan rakus dan tidak berperikemanusiaan selama 14 hari oleh Parti Komunis Malaya (PKM) melalui unit elitnya Malayan People’s Anti-Japanese Army (MPAJA) yang juga dikenali sebagai
Bintang Tiga. Kemudian tanpa rasa malu British datang semula pada September 1945 atas nama Pentadbiran Tentera British (BMA). Langkah ini untuk menguasai semula Tanah Melayu dan mencetuskan neo-kolonialisme iaitu
Malayan Union.
Keperitan rakyat di bawah Jepun dan Bintang Tiga serta luka lama kesan penjajahan British telah memercikkan bibit-bibit nasionalisme di kalangan rakyat. Nasionalisme ini sebenarnya telah lama bermula tetapi telah dipadamkan oleh British. Penentangan dan perjuangan negara seperti Dato’ Sagor, Dato’ Maharaja Lela, Dato’ Bahamam,
Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbung, Mat Kilau, Datuk Syahbandar Abdullah Tunggal, Dol Said, Rentap, Syarif Masahor, Datu Patinggi Abdul Gapur dan Mat Salleh (hanya menyebut beberapa nama) merupakan antara satria awal negara yang sanggup mengorbankan jiwa raga demi memperjuangkan kebebasan dan iltizam menghalau penjajah.
Walaupun penentangan yang dilakukan tidak memperoleh apa-apa kemenangan tetapi perjuangan inilah yang telah menyubur dan memercikkan api nasionalisme. Gerakan nasionalisme seperti ini bertunjangkan misi pembentukan negara bangsa yang merdeka, bebas dari penjajah dan mentadbir sistem pemerintahan negara sendiri dengan acuan kepimpinan sendiri.
Maka. langkah paling berkesan dalam menyemarakkan idea nasionalisme kemerdekaan adalah melalui sebaran media massa. Pada masa itu, mata pena amat tajam daripada muncung senapang. Justeru itu, kita tidak boleh mengkesampingkan peranan
Syed Sheikh al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin, Ustaz Abu Bakar al-Baqir, Abdul Kadir Adabi, dan Abdul Rahim Kajai serta ramai tokoh lagi. Terdapat tiga golongan yang menjadikan mata pena sebagai senjata menyemarakkan nasionalisme.
Pertama, golongan agama lepasa Al Azhar, Mesir dan Timur Tengah yang lebih dikenali sebagai Gerakan Islah.
Kedua, golongan sekular berpendidikan Inggeris.
Ketiga, golongan sekular berpendidikan Melayu.
Mereka mengeksploitasi keilmuan melalui penerbitan akhbar menentang British secara kreatif tanpa dihidu oleh British pada peringkat awalnya. Akhbar seperti al-Imam, Utusan Melayu (satu-satunya akhbar yang masih kekal sehingga kini), Seruan al-Azhar, Lembaga Melayu, Neracha, al-Ikhwan dan Lidah Benar (sekadar menyebut beberapa nama) adalah tempat para penulis berkarya menanamkan idea nasionalisme.
Gagasan Malayan Union telah meniupkan angin nasionalisme secara mendadak. Tindakan
Sir Harold Mac Michael memaksa raja-raja Melayu menerima idea Malayan Union ditentang hebat oleh raja-raja Melayu dan rakyat. Usul pemberian kewarganegaraan secara kaedah “jus soli” dan status Tanah Melayu sebagai negeri naungan British dan meneruskan pentadbiran Majlis Raja-Raja hanya dalam soal agama dan hal ehwal adat amat tidak disenangi oleh raja-raja dan rakyat Tanah Melayu. Komuniti Cina dan India tidak ghairah membantah kerana idea Malayan Union lebih menguntungkan mereka terutama usul jus soli! Malah ada yang mengkritik klausa-kluasa perlembagaan Malayan Union yang pada pandangan mereka melebihkan kaum Melayu melalui akhbar mereka pula! Penentangan ini lebih berkesan melaui penubuhan
Pekembar atau
UMNO yang muncul di barisan hadapan menyuarakan bantahan menentang Malayan Union.
Pada 1-4 Mac 1946, Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu diadakan di Kelab Sultan Sulaiman dan kongres kedua diadakan di Johor Bahru pada 1 Mei 1946. Di sinilah, di Istana Besar Johor Bahru UMNO diisytiharkan! Tokoh-tokoh seperti
Dato’ Onn Jaafar, Zaaba, Datin Puteh Mariah, Halimahton Majid, Cikgu Zahara Abdullah dan Syeikh Gharieb Raub memainkan peranan memacu tentangan terhadap Malayan Union. British amat terkejut dengan penentangan dan perubahan sikap masyarakat Melayu.
Walaubagaimanapun Malayan Union tetap juga ditubuhkan pada 1 April 1946 tetapi majlis perlantikan Edward Gent sebagai Gabenor telah dipulaukan. Lantaran penentangan secara besar-besaran maka Malayan Union dibatalkan dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu. Dari sinilah bermulanya episod untuk mendapatkan kemerdekaan.
Penubuhan
Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948 diadakan di King’s House, Kuala Lumpur (sekarang Seri Carcosa). Prinsip jus soli dimansuhkan dan syarat kerakyatan diperketatkan, konsep raja berpelembagaan diperkenalkan dan perlindungan istimewa kepada orang Melayu. Pada masa ini tokoh yang banyak memainkan peranan ialah
Tunku Abdul Rahman selaku Presiden UMNO yang menggantikan Dato’ Onn Jaafar.
Percubaan pertama menuntut kemerdekaan berlaku pada 1954. Tunku mengetuai sekumpulan perwakilan ke London untuk memperoleh sokongan untuk merdeka daripada Ratu England tetapi gagal. British tidak akan memberikan kemerdekaan sekiranya tiga kaum terbesar tidak boleh bersatu! Secara implisitnya, British ingin memastikan prasyarat tersebut mesti dipatuhi kalau tidak mereka akan meneruskan penjajahan lagi.
Tunku mengambil insiatif bersama
Tun H.S.Lee membentuk gabungan UMNO dengan MCA dalam Pilihanraya Persekutuan pertama pada Julai 1955. Dengan manifestonya untuk mencapai kemerdekaan dalam masa empat tahun telah membuahkan hasil.
Parti Perikatan (gabungan UMNO-MCA) memenangi 51 daripada 52 kerusi. Usaha murni ini diteruskan dengan membawa MIC pula menyertai Perikatan.
Justeru itu, pada awal 1956,
Rombongan Merdeka dibentuk yang terdiri daripada 4 wakil raja-raja Melayu dan empat wakil Parti Perikatan. Rundingan dipengerusikan oleh Lord Lennox-Boyd iaitu Setiausaha Tanah Jajahan British telah berlangsung dari 18 Januari hingga 8 Februari 1956 telah diakhiri dengan pemeteraian Perjanjian London. Rombongan Merdeka kembali pada 20 Februari 1956 dan diberi sambutan meriah dalam perhimpunan di Padang Merdeka Bandar Hilir, Melaka.
Di sinilah Tunku mengumumkan tarikh kemerdekaan ditetapkan pada 31 Ogos 1957. Laungan merdeka sudah mula kedengaran! Draf perlembagaan oleh
Suruhanjaya Reid teleh diterima oleh Parlimen British pada Jun 1957 dan dibentangkan untuk diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan. Kemudian pada 15 Ogos 1957, upacara menandatangani
Perjanjian Merdeka 1957 dijalankan antara raja-raja Melayu dengan British di King’s House.
Fasal penting Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu telah memberikan hak kedudukan istimewa orang-orang Melayu tanpa mengurangkan hak warganegara kaum-kaum lain, agama Islam sebagai agama rasmi serta kebebasan penganut agama lain mengamalkan agama masing-masing, bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan dan Yang Di-Pertuan Agung sebagai ketua negara. Perlembagaan Merdeka ini telah memberikan hak mutlak penduduk tempatan menerajui sebuah negara berdaulat.
Pada malam 30 Ogos 1957, di hadapan Padang Kelab Selangor, bendera Union Jack diturunkan “setelah sekian lama sejak Francis Light mula mengibarkannya di Pulau Pinang” dan dinaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu. Pada pagi 31 Ogos 1957, peristiwa pemasyhuran kemerdekaan disaksikan oleh ribuan rakyat di Stadium Merdeka. Wakil Ratu Elizabeth,
Duke of Wellington telah menyerahkan dokumen Perisytiharan Kemerdekaan kepada
Yang Di-Pertuan Agong. Penyerahan ini menandakan pemulangan kuasa politik negara ini kepada pemerintah tempatan setelah dikuasai oleh penjajah selama hampir
446 tahun!
Klimaksnya ialah laungan keramat merdeka oleh Tunku Abdul Rahman. Inilah hasil perjuangan suci para satria kemerdekaan pasca Melaka dengan bermulanya kedatangan Portugis sehinggalah tarikh 31 Ogos 1957. Dahulu kita pernah membina negara bangsa yang bertamadun kemudian diruntuhkan oleh
Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun dan
Bintang Tiga. Janganlah kita runtuhkan lagi. Sekali runtuh amat sukar untuk membinanya semula.
Bukan senang hendak mencapai kemerdekaan ; Bukan mudah hendak mempertahankan kemerdekaan.